MINGGU ini saya ingin berkongsi maklumat mengenai tindakan seseorang yang melakukan suntikan ubat radang pada anggota kelamin. Untuk makluman pembaca, suntikan ubat radang pada alat sulit sebenarnya tidak wujud dalam arena perubatan moden.
Yang kita sedia maklum, menyuntik ubat radang akan mengakibatkan kesan ketara pada tempat dan kawasan yang disuntik. Bayangkan jika selumbar masuk ke dalam alat sulit kita, tentu sangat menyakitkan dan hanya lega apabila dikeluarkan.
Namun, tindakan menyuntik ini lebih berbahaya kerana apa yang disuntikkan itu tidak dapat dikeluarkan. Ia sentiasa ‘di situ’ dan terus mengganas serta mengakibatkan radang.
Memandangkan anggota kelamin lelaki mengandungi kulit yang mudah longgar dan mengembang serta tiada lapisan lemak, suntikan itu tidak diserap lemak dan terus bergerak ke semua bahagian anggota kelamin, termasuk tundun dan kerandut.
Apabila bahagian kulit anggota sulit lelaki itu radang, kulit akan menebal dan sistem perjalanan darah putih atau ‘lymphatic’ juga akan terkandas dan kesan bengkak menjadi ketara. Ini menyebabkan alat kelamin lelaki itu membesar secara ketara seperti penyakit untut kaki (kaki macam kaki gajah).
Kulit akan menebal, menegang dan merekah. Ini menyebabkan kulit kawasan disuntik itu mengalami kegatalan. Apabila kulit digaru, kulit akan melecet dan berbelang.
Seseorang itu juga tidak dapat melakukan hubungan seksual dengan pasangan kerana ereksi tidak padat akibat tiada ruang untuk otot mengembang dan mengeras.
Ini kerana tiada cukup ruang apabila kulit alat sulit yang sepatutnya tipis, sudah menjadi tebal dan keras akibat suntikan itu!
Kali pertama saya berdepan kes alat kelamin berbentuk luar biasa, besar dan hodoh ialah 18 tahun lalu. Lelaki yang mengalami masalah itu tidak beritahu punca anggota kelaminnya menjadi begitu, dia hanya datang untuk rawatan mati pucuk.
Saya cadangkan dia menjalani pembedahan pemulihan terlebih dulu kerana kulit anggota kelamin dan kerandutnya ada beberapa kesan benjol keras manakala bahagian hujung alat kelaminnya iaitu kepala, terbenam!
Sejak hari itu saya mengkaji fenomena alat kelamin hodoh dan mendapati perkara ini berlaku akibat prosedur menyuntik ubat radang seperti minyak bunga, minyak cendana atau pelbagai minyak radang untuk membuatkan kulit alat kelamin menebal dan kelihatan besar.
Jadi, kaedah ini kononnya dapat membantu membesarkan alat kelamin! Sedangkan ia berbahaya, berisiko tinggi dan memudaratkan anggota kelamin.
Saya mendapati kebanyakan pengamal kaedah ini datang dari seberang dan ada juga pengamal tradisional tempatan mempelajarinya daripada mereka. Kaedah ini popular di Sabah dan Sarawak dan Pantai Timur.
Biasanya pengamal menggunakan ejen untuk mempromosi. Kebanyakan kes yang saya kendalikan menjalani ‘rawatan’ secara mengikut kawan. Kononnya, pengamal kaedah ini akan berkunjung ke tempat tertentu dan memberi suntikan.
Suntikan diberi secara kasar dan tidak mengikut kebersihan dan dilakukan di rumah pelanggan atau bilik rumah tumpangan atau hotel. Sebilangan pengamalnya tidak mempunyai tauliah mengenai cara perubatan moden dan ada juga dilakukan oleh tabib, tukang urut dan tok mudim.
Pembaca semua boleh bayangkan, lelaki sanggup menggadai nyawa dan anggota kelaminnya dengan orang tidak bertauliah. Saya juga difahamkan, pengamal itu menghilangkan diri apabila keadaan menjadi huru-hara.
Semua kes yang saya kendalikan menyatakan mereka menjalani kaedah berbahaya ini semata-mata kerana mahukan alat kelamin besar. Ada juga menyatakan kononnya pengamal mendakwa kaedah ini dapat membantu mengeraskan ereksi yang tak cukup keras.
Sehingga kini, saya mengendalikan 180 kes dan kebanyakannya memang serius. Setahu saya, lebih kurang 20 peratus dapat pemulihan yang memuaskan mereka manakala yang lain mengalami radang kronik dari semasa ke semasa dan sentiasa perlu makan ubat anti-radang.
|